Takziah kepada keluarga Rasulullah SAW
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dalam kitab Tafsir: “Bercerita kepadaku
ayahku, yang didengarnya dari Abdul Aziz Al-Ausiy, dari Ali bin Abu Ali, dari
Jakfar bin Muhammad bin Ali bin Husain, dari ayahnya, katanya Ali bin Abi Talib
berkata:
“Ketika wafat Rasulullah SAW, datanglah ucapan takziah. Datang
kepada mereka (keluarga Nabi SAW) orang yang memberi takziah. Mereka mendengar
orang memberi takziah tetapi tidak melihat orangnya. Bunyi suara itu begini:
‘Assalamu Alaikum Ahlal Bait
Warahmatullahi Wabarakatuh. Setiap yang bernyawa akan merasakan mati.
Hanyasanya disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesungguhnya dalam agama
Allah ada pemberi takziah bagi setiap musibah, bagi Allah ada pengganti setiap
ada yang binasa, begitu juga menemukan bagi setiap yang hilang. Kepada
Allah-lah kamu berpegang dan kepada-Nya mengharap. Sesungguhnya orang yang
diberi musibah adalah yang diberi ganjaran pahala.”
Berkata Jakfar: “Bercerita kepadaku
ayahku bahawa Ali bin Abi Talib ada berkata: “Tahukah kamu siapa ini? Ini
adalah suara Nabi Khidir.” Berkata Muhammad bin Jakfar: “Adalah ayahku,
iaitu Jakfar bin Muhammad, menyebutkan tentang riwayat dari ayahnya, dari
datuknya, dari Ali bin Abi Talib bahawa datang ke rumahnya satu rombongan kaum
Quraisy kemudian dia berkata kepada mereka: “Mahukah kamu aku ceritakan kepada
kamu tentang Abul Qasim (Muhammad SAW)?”
Kaum Quraisy itu menjawab: “Tentu
sahaja mahu.”
Ali bin Abi Talib berkata: “Jibril
Alaihis salam pernah berkata kepada Rasulullah SAW: “Selamat sejahtera ke atas
kamu wahai Ahmad. Inilah akhir watanku (negeriku) di bumi. Sesungguhnya hanya
engkaulah hajatku di dunia.” Maka tatkala Rasulullah SAW wafat, datanglah orang
yang memberi takziah, mereka mendengarnya tetapi tidak melihat orangnya. Orang
yang memberi takziah itu berkata: “Selamat sejahtera ke atas kamu wahai ahli
bait. Sesungguhnya pada agama Allah ada pemberi takziah setiap terjadi musibah,
dan bagi Allah ada yang menggantikan setiap ada yang binasa. Maka kepada Allah-lah
kamu berpegang dan kepada-Nya mengharap. Sesungguhnya orang yang diberi musibah
adalah yang diberi ganjaran pahala.” Mendengar yang demikian Ali bin Abi Talib
berkata: “Tahukah kamu siapa yang datang itu? Itu adalah Khidir.”
Berkata Saif bin Amr At-Tamimi dalam
kitabnya Ar-Riddah, yang diterimanya dari Sa’id bin Abdullah, dari Ibnu Umar
mengatakan: “Ketika wafat Rasulullah SAW, datanglah Abu Bakar ke rumah
Rasulullah. Ketika beliau melihat jenazah Rasulullah SAW, beliau berkata: “Inna
Lillahi Wa Inna Ilaihi Rajiun.” Kemudian beliau bersama sahabat-sahabat yang
lain menyembahyangkan jenazah Rasulullah SAW. Pada waktu mereka
menyembahyangkan jenazah Rasulullah SAW, mereka mendengar suara ajaib. Selesai
solat dan mereka pun semuanya sudah diam, mereka mendengar suara orang di pintu
mengatakan: “Selamat sejahtera ke atas kamu wahai Ahli Bait. Setiap yang
bernyawa akan merasakan kematian. Hanyasanya disempurnakan pahala kamu pada
hari kiamat. Sesungguhnya pada agama Allah ada pengganti setiap ada yang binasa
dan ada kelepasan dari segala yang menakutkan. Kepada Allah-lah kamu mengharap
dan dengan-Nya berpegang. Orang yang diberi musibah akan diberi ganjaran.
Dengarlah itu dan hentikan kamu menangis itu.”
Mereka melihat ke arah suara itu
tetapi tidak melihat orangnya. Kerana sedihnya mereka menangis lagi. Tiba-tiba
terdengar lagi suara yang lain mengatakan: “Wahai Ahli Bait, ingatlah kepada
Allah dan pujilah Dia dalam segala hal, maka jadilah kamu golongan orang
mukhlisin. Sesungguhnya dalam agama Allah ada pemberi takziah setiap terjadi
musibah, dan ada pengganti setiap ada yang binasa. Maka kepada Allah-lah kamu
berpegang dan kepada-Nya taat. Sesungguhnya orang yang diberi musibah adalah
orang yang diberi pahala.” Mendengar yang demikian itu berkata Abu Bakar: “Ini
adalah Khidir dan Ilyas. Mereka datang atas kematian Rasulullah SAW.”
Berkata Ibnu Abu Dunia, yang
didengarnya dari Kamil bin Talhah, dari Ubad bin Abdul Samad, dari Anas bin
Malik, mengatakan: “Sewaktu Rasulullah SAW meninggal dunia, berkumpullah sahabat-sahabat
beliau di sekeliling jenazahnya menangisi kematian beliau. Tiba-tiba datang
kepada mereka seorang lelaki yang bertubuh tinggi memakai kain panjang. Dia
datang dari pintu dalam keadaan menangis. Lelaki itu menghadap kepada
sahabat-sahabat dan berkata: “Sesungguhnya dalam agama Allah ada pemberi
takziah setiap terjadi musibah, ada pengganti setiap ada yang hilang.
Bersabarlah kamu kerana sesungguhnya orang yang diberi musibah itu akan diberi
ganjaran.”
Kemudian lelaki itu pun menghilang
daripada pandangan para sahabat. Abu Bakar berkata: “Datang ke sini lelaki yang
memberi takziah.” Mereka memandang ke kiri dan kanan tetapi lelaki itu tidak
nampak lagi. Abu Bakar berkata: “Barangkali yang datang itu adalah Khidir,
saudara nabi kita. Beliau datang memberi takziah atas kematian Rasulullah SAW.”
Dari tadi sudah banyak kita lihat
ucapan-ucapan takziah yang hampir sama kata-katanya. Ada yang mengatakan hadis
ini daif. Ubad yang meriwayatkan hadis ini tidak diiktiraf oleh Imam Bukhari.
Berkata Ibnu Syahin dalam kitabnya
Al-Jana’iz: “Bercerita kepada kami Ibnu Abu Daud, dari Ahmad bin Amr, dari Ibnu
Wahab, dari Muhammad bin Ajlan, dari Muhammad bin Mukandar, berkata: “Pernah
pada suatu hari Umar bin Khattab menyembahyangkan jenazah, tiba-tiba beliau
mendengar suara di belakangnya: “Ala, janganlah duluan dari kami mengerjakan
solat jenazah ini. Tunggulah sudah sempurna dan cukup orang di belakang baru
memulakan takbir.” Kemudian lelaki itu berkata lagi: “Kalau engkau seksa dia ya
Allah, maka sesungguhnya dia telah derhaka kepada-Mu. Tetapi kalau Engkau mahu
mengampuni dia, maka dia betul-betul mengharap keampunan daripada-Mu.” Umar
bersama sahabat-sahabat yang lain sempat juga melihat lelaki itu. Tatkala mayat
itu sudah dikuburkan, lelaki itu masih meratakan tanah itu sambil berkata:
“Beruntunglah engkau wahai orang yang dikuburkan di sini.”
Umar bin Khattab berkata: “Tolong bawa ke sini
lelaki yang bercakap itu supaya kita tanya tentang solatnya dan maksud
kata-katanya itu.” Tiba-tiba lelaki itu pun sudah menghilang dari pandangan
mereka. Mereka mencari ke arah suaranya tadi tiba-tiba mereka melihat bekas
telapak kakinya yang cukup besar. Umar bin Khattab berkata: “Barangkali yang
datang itu adalah Khidir yang pernah diceritakan oleh Nabi kita Muhammad SAW.”
Ada juga yang mengatakan hadis ini tidak sahih. Kata Ibnu al-Jauzi hadis ini majhul (tidak dikenal) dan dalam sanadnya ada yang terputus di antara Ibnul Mukandar dengan Umar.
0 komentar:
Post a Comment