Berkata Ibnu Abu Dunia: “Bercerita
kepadaku ayahku, yang didengarnya dari Ali bin Syaqiq, dari Ibnu Al-Mubarak,
dari Umar bin Muhammad bin Al-Mukandar, berkata: “Ada seorang peniaga yang
banyak memuji-muji barangnya dan banyak bersumpah untuk meyakinkan orang lain
(pembeli). Tiba-tiba datang kepadanya seorang tua dan berkata: “Wahai peniaga,
juallah barangmu tetapi jangan banyak bersumpah.” Peniaga itu masih banyak
bercakap dan bersumpah, yang menyebabkan orang tua itu berkata lagi: “Wahai
pedagang, berniagalah secara jujur dan jangan banyak bersumpah.” Bahkan orang
tua itu berkata lagi: “Berniagalah secara yang patut sahaja.” Peniaga itu
berkata: “Inilah yang patut saya lakukan.” Kemudian orang tua itu berkata:
“Utamakanlah kejujuran walaupun berat melakukannya dan tinggalkan berbohong
walaupun ia akan membawa keuntungan.”
Akhirnya peniaga itu berkata: “Kalau
begitu tuliskanlah semua apa yang engkau sebutkan ini. “Orang tua itu berkata:
“Kalau ditakdirkan sesuatu itu maka adalah ia.” Menurut mereka yang datang
menegur itu adalah Nabi Khidir.
Diriwayatkan oleh Abu Amr, dari Yahya bin Abi Talib, dari Ali bin Ashim, dari
Abdullah, berkata: “Pernah Ibnu Umar duduk-duduk di satu tempat, sedangkan
seorang lelaki (tidak berapa jauh dari tempatnya) sudah mula membuka jualannya.
Peniaga itu banyak bersumpah untuk melariskan jualannya. Tiba-tiba datang
kepadanya seorang lelaki dan berkata: “Takutlah kepada Allah dan jangan
berbohong. Hendaklah engkau berkata jujur walaupun berat melakukannya dan
jauhilah berdusta walaupun ia membawa manfaat. Dan jangan tambah-tambah dari cerita
orang lain (apa yang ada).”
Ibnu Umar yang mendengar teguran
orang tua itu berkata kepada peniaga itu: “Pergi ikuti dia dan suruh supaya dia
tulis apa yang disebutkannya tadi.” Peniaga itu pergi mengikutinya dan meminta
supaya menuliskan apa yang disebutkannya tadi tetapi orang tua itu hanya
berkata: “Kalau sesuatu itu sudah ditentukan Allah, maka adalah ia.” Kemudian
orang tua itu pun tiba-tiba sahaja menghilang. Peniaga itu kembali menjumpai
Ibnu Umar serta menceritakan apa jawapan orang tua itu. Ibnu Umar berkata:
“Yang datang itu adalah Nabi Khidir.”
Tetapi kata Ibnu Al-Jauzi
hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Ahsim daif. Bahkan katanya Ali bin
Ashim itu lemah ingatannya.
Ada juga riwayat yang hampir sama
dengan ini menyebutkan: “Ada dua orang lelaki yang berjualan tidak berapa jauh
dari Abdullah bin Umar. Salah seorang dari peniaga itu banyak bersumpah untuk
melariskan barang-barang jualannya. Ketika ghairah bercerita mempromosikan
jualannya, tiba-tiba datang seorang lelaki kemudian berkata kepada peniaga yang
banyak bersumpah itu: “Wahai hamba Allah, takutlah kepada Allah dan jangan
banyak bersumpah. Sesungguhnya tidak akan bertambah rezekimu jika engkau banyak
bersumpah. Dan sebaliknya, tidak akan mengurangkan kepada rezekimu jika engkau tidak
bersumpah. Oleh itu bercakaplah yang wajar-wajar sahaja.”
Peniaga itu menjawab: “Inilah yang
saya anggap wajar.”
Lelaki tua itu mengulang nasihatnya
lagi. Dan ketika dia sudah mahu pergi, dia berkata lagi: “Ketahuilah bahawa
termasuk daripada iman ialah mengutamakan kejujuran walaupun berat
melaksanakannya dan meninggalkan pembohongan walaupun dianggap membawa
keuntungan.”
Setelah memberi nasihat atau teguran, lelaki itu pun pergi. Ibnu Umar berkata kepada peniaga itu: “Kejar dia dan minta supaya ditulisnya apa yang disebutkannya tadi.” Peniaga itu pergi mengejarnya dan berkata kepadanya: “Wahai hamba Allah, tuliskanlah apa yang engkau sebutkan tadi supaya tuan dirahmati Allah.” Lelaki itu tidak ada menulisnya tetapi mengulangi apa yang disebutkannya tadi. Jadi, menurut Ibnu Umar yang datang itu adalah Nabi Khidir
0 komentar:
Post a Comment